24 Mac 2016 - 23:50
Laachraoui, penyerang Brussels seorang pelajar contoh

FAIL foto tidak bertarikh dikeluarkan pada 21 Mac 2016 oleh polis persekutuan pada permintaan pendakwa Brusselsmenunjukkan gabungan dua gambar Najim Dachraoui, 25 tahun. - Foto AFP

PARIS: Pengebom bunuh diri Brussels, Najim Laachraoui, seorang pejuang veteran militan IS di Syria yang disyaki membuat tali pinggang bom dalam serangan Paris November lalu, adalah pelajar contoh di sebuah sekolah tinggi Katolik di Brussels, kata pengarah sekolah kepada Reuters.

Pasukan keselamatan memaklumkan media tempatan, Laachraoui, 25, warga Belgium, adalah seorang daripada pengebom lapangan terbang Selasa lalu, mengenal pastinya sebagai seorang daripada tiga lelaki dalam imej kamera litar tertutup (CCTV) dikeluarkan polis.

"Najim Laachraoui adalah pelajar yang bagus. Dia tidak pernah gagal dalam kelas," kata Veronica Pellegrini, pengarah Institut de la Sainte Famille d'Helmet, sebuah sekolah Katolik pelbagai etnik di timur Brussles di Schaerbeek.

Pellegrini juga memaklumkan Laachraoui, belajar di sekolah itu selama enam tahun sehingga tamat persekolahan tahun 2009. "Kami tidak pernah mendengar berita daripadanya sejak itu," katanya dalam satu temuramah telefon.

Pendakwa raya berkata, DNA Laachraoui ditemui dalam sebuah rumah digunakan penyerang Paris tahun lalu.

Dia meninggalkan Brussels untuk ke Syria pada Februari 2013. Media tempatan mengatakan, dia mendapat latihan teknikal bermaksud penyerang itu mungkin pembuat senjata dalam operasi terbabit. -Reuters